Muhamad Syukri Dzun Nurin

Wednesday, February 29, 2012

Istana Riswin, Ipoh Perak

Assalamualaikum. Jika kita sebutkan Istana Iskandariah dan Istana Kinta, pasti ramai yang tahu sedikit sebanyak tentang Istana ini. Tapi bagaimana pula jika kita sebutkan Istana Riswin yang menjadi tempat bersemayam Permaisuri Almarhum Sultan Idris Shah II iaitu Raja Perempuan Muzwin.


Istana Riswin terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. Istana ini bersebelahan dengan kediaman rasmi Datuk Bandar Ipoh dan juga berselang dengan kediaman Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh. Istana ini dibina selepas kemangkatan Sultan Idris Shah II dan ianya direka bentuk oleh Anakanda baginda sendiri iaitu Raja Nazhatul Shima. Nama Istana ini adalah hasil gabungan nama Idris( Sultan Idris Shah) dan Muzwin (Raja Perempuan Muzwin) maka terhasilah nama Istana Riswin.

Istana ini dibina bercirikan bangunan moden dan tradisional mengikut kehendak Raja Perempuan Muziwn sendiri kerana Istana ini bakal menjadi tempat bersemayam baginda. Dekorasi Istana ini mengikut tema warna biru( firus) dihiasi karang laut yang menjadi kegemaran Raja Puan Mahkota Perak, Raja Nazhatul Shima.

 YANG AMAT MULIA RAJA PUAN MAHKOTA PERAK, Raja Nazhatul Shima gemarkan Karang dan hidupan laut.




 Ruangan dalam Istana Riswin.

 YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN PERAK, Raja Muzwin Bt Raja Ariff Shah
Selepas Kemangkatan Raja Perempuan Muzwin pada 6 Oktober 2011, Istana ini menjadi tempat tinggal Yang Amat Mulia Raja Puan Mahkota perak, Raja Nazhatul Shima Bt Almarhum Sultan Idris Shah. Sememangnya Istana ini banyak meninggalkan nostalgia kepada Raja Nazhatul Shima sendiri serta Kerabat Diraja Perak yang lain.

Read more...

Friday, February 24, 2012

Dimana Kan Ku Cari Ganti( Almarhummah Sultanah Bahiyah dan Allahyarhammah Puan Sri Saloma)

Assalamualaikum. Selepas mendengar salah satu lagu hasil karya Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee iaitu Dimana Kan ku Cari Ganti saya terasa hendak membuat entry ini. Lagu ini sangat menyentuh hati saya dan tiba- tiba air mata saya mengalir. Bukan hendak bermain perasaan di Medan maya ini, cuma sekadar berkongsi rasa tentang kehilangan orang yang kita cintai.

Lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti( Klik Sini) bukanlah dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang selalu kita dengar, tapi ianya dinyanyikan semula oleh isteri beliau, Biduanita Negara yang kita sayangi, Puan Sri Saloma sebelum pemergiaan beliau ke Rahmatullah pada tahun 1983.

 Almarhum Sultanah Bahiyah dan Allahyarhammah Puan Sri Saloma
Kenalkah kita dengan 2 wanita dia atas. Ya, mungkin kita mengenali 2 wanita ini kerana mereka wanita hebat. Almarhum Tuanku Sultanah Bahiyah dan Allahyarhammah Puan Sri Saloma. Bagi saya Almarhum Tuanku Sultanah Bahiyah dan Puan Sri Saloma mempunyai wajah yang hampir- hampir seiras. Mungkin ini hanya pandangan saya, walau bagaimanapun wanita istimewa ini mempunyai keistimewaan masing- masing.

 Almarhumah Sultanah Bahiyah.
Sultnah Bahiyah atau nama penuhnya ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah Bt Almarhum Tuanku Abdul Rahman diputerikan 24 Ogos 1930. Baginda merupakan puteri sulong kepada Almarhum Tuanku Abdul Rahman( Yang Dipertuan Agong Pertama) dan Almarhum Tunku Puan Besar Kursiah. Baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah pada tahun 1958. Hasil perkahwinan baginda dengan Sultan Abdul Halim, Sultanah Bahiyah dikurniakan seorang Puteri iaitu Tunku Putri Intan Safinaz.
 Sultanah Bahiyah mendukung puteri tunggal baginda iaitu Tunku Putri Intan Safinaz.
Sultanah Bahiyah merupakan seorang puteri raja yang sederhana. Baginda mempunyai pekerti yang sangat luhur. Sepanjang hidup baginda, Sultanah Bahiyah sentiasa menjaga kecantikkan baginda sehingga ke akhir hayat. Baginda tegas mendidik Puteri nya tetapi dalam ketegasan itu terselit kasih sayang yang cukup bernilai untuk dikenang. Baginda merupakan Permaisuri, ibu dan Isteri yang cukup sempurna. Baginda mangkat pada 26 Ogos 2003 kerana menghidap Kanser.

 Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
Puan Sri Datin Amar Saloma atau nama sebenarnya ialah Salmah Bt Ismail dilahirkan pada 22 Januari 1935 di Pasir Panjang, Singapura. Beliau merupakan isteri ketiga kepada Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Puan Sri Datin Amar Saloma merupakan Seniwati dan Biduanita terkenal sewaktu zaman 60 an dan 70 an. Antara Filem yang terkenal lakonan beliau ialah Seniman Bujang Lapok, Sabaruddin Tukang Kasut dan Ragam P. Ramlee.

 Puan Sri Datin Amar Saloma bersama suami nya Tan Sri Dato Amar(Dr) P. Ramlee.
Hasil perkahwinan Puan Sri Saloma dengan Tan Sri P. Ramlee tidak dikurniakan sebarang cahaya mata sebaliknya Puan Sri Saloma dikurniakan seorang putera lelaki yang bernama Armali hasil perkahwinan pertama nya dengan Allahyarhan A.R Tompel.

Sepanjang bergelar anak seni Puan Sri Saloma telah menyanyikan hampir ratusan buah lagu disamping dianugerahkan pelbagai gelaran antaranya ialah Ahli Mangku Negara ( AMN) Oleh Yang Dipertuan Agong ke- 5, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

 Puan Sri Saloma sewaktu dianugerahkan Pingat Ahli Mangku Negara oleh YDP Agong.
Puan Sri Saloma telah menghembuskan nafas terakhir pada 25 April 1983 kerana menghidap Demam Kuning. Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang seni, Puan Sri Saloma telah dianugerahkan gelaran Biduanita Negara oleh Kerajaan Malaysia.

Akhir kata, 2 wanita figura diatas merupakan wanita yang dapat menyentuh hati saya. Kemangkatan Tuanku Sultanah Bahiyah dan pemergiaan Puan Sri Saloma merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Semoga Roh mereka dicucuri Rahmat. Kehilangan ini tiada gantinya... Al- Fatihah

Read more...

Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini semalam.

 SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah beramah mesra dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Ke-228 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
Mesyuarat hari pertama itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kedah diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Pahang oleh Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi serta perkembangan industri. Majlis santapan malam sempena Mesyuarat ke-228 Majlis Raja-Raja akan diadakan di Istana Negara malam ini.

Read more...

Saturday, February 18, 2012

Keberangkatan Tiba Raja Perempuan Besar Perlis sempena Pertabalan Tuanku Syed Sirajuddin

Assalamualaikum. Sempena merayakan Istiadtat Pertabalan Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamallulail, satu Majlis Santapan Malam telah diadakan pada 25 April 2002. Kesemua Raja- Raja Melayu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Pengiran Isteri Hajah Mariam.

Turut berangkat pada Majlis Santapan Malam itu ialah Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Budriah Bt Almarhum Tengku Ismail yang merupakan bonda kepada Tuanku Syed Sirajuddin.

 Keberangkatan Tiba Raja Perempuan Besar Perlis Tuanku Hajah Budriah disambut oleh Penyambut Tetamu Diraja.
Sewaktu Santapan Malan itu, baginda mengenakan Baju Kebaya berwarna merah hati terang bersama Mahkota Kebesaran dan Darjah Kemuliaan yang diterima baginda. Umum mengetahui bahawa Raja Perempuan Besar Perlis ini sangat rapat dan bersahabat karib dengan Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah.

 Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Besar Perlis dipimpin olehYang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan sambil diiringi oleh Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis.
Disamping itu, Almarhum Tuanku Budriah juga mempunyai hubungan yang erat dengan Paduka Anakanda Yang Maha Mulia Tengku Anis. Tengku Anis Bt Almarhum Tengku Abdul Hamid merupakan Mantan Raja Perempuan Kelantan dan baginda sememangnya amat menyayangi Paduka Bonda Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Hajah Budriah.

 YMM Tuanku Budriah dipimpin oleh YMM Tuanku Najihah dan YMM Tuanku Anis. Baginda bertiga sangat mempunyai gaya seorang Permaisuri yang dihormati.
 Apa yang dibualkan antara DYMM Tuanku Fauziah dan YMM Tuanku Najihah serta YMM Tuanku Budriah itu.
Akhir kata, hubungan kekerabatan yang dibina oleh Tuanku Raja Perempuan Besar Perlis, Almarhum Tuanku Budriah ini tidak hanya disitu sahaja selepas kemangkatan baginda. Legasi itu diteruskan oleh Anakanda Mertua yang juga penyandang gelaran Raja Perempuan Perlis sekarang iaitu Tuanku Fauziah Bt Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Hubugan kekerabatan yang erat antara Tuanku Najihah dan Tuanku Budriah jelas terlihat dan sentiasa berpanjangan.
 Legasi Almarhum Raja Perempuan Besar Perlis Tuanku Budriah masih diteruskan Tuanku Fauziah.
Al- Fatihah. Semoga Roh baginda dicucuri Rahmat.


Yang Maha Mulia Raja Perempuan Besar Perlis
Alamrhummah Tuanku Hajah Budriah Bt Almarhum Tengku Ismail
DK. DMN. DK(Kelantan). SMN. SPMK.
The Most Ilustracious Order Of Chula Chaom Klao( Thailand),  The Great Cross Of Agricultural  Merit( Cambodia), First Class Of The Order Precious Crown( Japan), First Class Nahdar Star(Pakistan), Grand Cross Of The Order( Republic Arab Emiriate)

Read more...

Biodata DYMM Tuanku Syed Sirajuddin( Raja Perlis ke- 7)


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail diisytiharkan menjadi Raja Negeri Perlis yang ketujuh pada 17 April 2000. 

Baginda diputerakan di Bandar DiRaja Arau, Perlis pada 12 Jamadilawal 1362 bersamaan 17 haribulan Mei 1943. 

 DYMM Tuanku Syed Sirajuddin bersama Kekanda baginda iaitu YAM Tengku Puteri Utama Perlis Sharifah Salwa dan Adinda baginda iaitu Tengku Bendahara Perlis Syed Badaruddin.( Sumber-Perlis Royalty
Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Melayu Arau (sekarang Sek. Keb. Tg. Budriah) dan kemudiannya baginda berhijrah ke Pulau Pinang bagi meneruskan pendidikan rendahnya sehingga ke tahun 1955 di Sekolah Rendah Wellesley dan Sekolah Rendah Westland. Baginda memulakan pendidikan menengahnya di Penang Free School dan kemudiannya menyambung pengajiannya sehingga ke tahun 1963 di Wellingborough Public School, England.

Pada 30 Oktober 1960, ketika masih di alam persekolahan, baginda dilantik menjadi Raja Muda Perlis. Setelah tamat pendidikan menengah di England itu, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin membuktikan potensi kepimpinan dan keperwiraannya apabila terpilih mengikuti kursus Pegawai Kadet Tentera Darat di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst. Baginda dilatih-tubi sebagai bakal pegawai tentera darat mulai 7 Januari 1964 sehingga 16 Disember 1965. 

 Tuanku Syed Sirajuddin ketika bergelar Raja Muda Perlis.
Setelah tamat latihan di Sandhurst itu baginda kembali ke Malaysia, baginda telah ditauliah sebagai pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia dengan pangkat Leftenan Muda pada 12 Disember 1965 dengan menyertai Kor Peninjau DiRaja yang sekarang dikenali sebagai Kor Armor DiRaja. Pertukaran masuk ke pasukan itu bermula di Regimen Kedua Peninjau yang bertempat di Kem Sungala, Port Dickson. Baginda pernah berkhidmat di Sabah dalam tahun 1966 dan juga di Sarawak pada tahun 1967.

Dalam bulan Disember 1967 baginda dinaikkan ke pangkat Leftenan. Pahang merupakan negeri terakhir baginda berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Baginda menamatkan perkhidmatan ketenterannya pada 31 Disember 1969 dengan pangkat Kapten, untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab baginda sebagai D.Y.T.M. Raja Muda Perlis, serta mempelajari selok-belok pemerintahan negeri. 

Sebelum itu, pada 15 Februari 1967, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin melangsungkan perkahwinannya dengan D.Y.M.M. Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid, D.K., S.S.P.J., S.P.M.P.  Dengan perkahwinan itu D.Y.M.M. Tengku Fauziah digelar Raja Puan Muda Perlis. 

 DYMM Tuanku Tengku Fauziah Bt Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Pada tahun 1967 itu juga baginda dilantik buat pertama kalinya sebagai Pemangku Raja Perlis, iaitu semasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis berangkat ke Amerika Syarikat.

 Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Tuanku Raja Perlis yang ke-7
 Tuanku Syed Sirajuddin mengucup keris panjang diraja menzahirkan Istiadat Pertabalan sebagai Raja Perlis yang baru.

Read more...

Friday, February 17, 2012

Keberangkatan Tiba Permaisuri Siti Aishah ke Persidangan Homeopathic Antarabangsa Ke- 7

Assalamualaikum. Pada 2 February 2006, bekas Raja Permaisuri Agong, Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah Bt Abdul Rahman telah berkenan berangkat dan Merasmikan pembukaan Persidangan Antarabangsa Homeopathic Sedunia di Genting Highland.

Ketibaan Baginda Permaisuri disambut hampir 200 orang Delegasi dan wakil- wakil Ahli Kesihatan sedunia dan pada majlis itu baginda berkenan menyampaikan pengiktirafan kepada mereka yang layak. Mereka terdiri daripada Ahli Majlis Berdaftar Persatuan Homeopathic Malaysia iaitu Dr Wan Mohd Affendi, Dr Che Musa Mohammad, Dr Mohammad Zin Abd Rahman dan Dr Wan Mohammad Ibrahim.

 Yang Amat Mulia bekas Raja Permaisuri Agong, Permaisuri Siti Aishah berkenan menganugerahkan Sijil Tauliah kepada peserta yang hadir.
Semasa berangkat Ke Majlis rasmi itu, baginda diiringi oleh beberapa orang Pengawal Diraja bersama bonda, Datin Seri Shamsinar Abdul Rahman. Baginda kelihatan Sedondon bersama Baju Kebarong berwarna merah hati ditaburi Permata Opal serta kasut dan beg tangan. Selain mengenakan aksesori yang agak minima iaitu Rantai Tangan jenis semi pecious stone dan jam tangan yang dihiasi dengan permata quartza.

Harus diingatkan kedudukan baginda adalah ditempat kelima dalam senarai Keutamaan Negara dan selayaknya itu baginda mesti dilayan seperti seorang yang masih lagi mempunyai status diraja.


Cuba kita perhatikan kerusi yang diduduki baginda itu adalah masih lagi berwarna kuning. Saya secara peribadi sangat memuji para penganjur kerana masih tahu adab dan protokol diraja yang diamalkan sejak dahulu kala. Sememangnya bekas Permaisuri harus dihormati walaupun baginda tidak lagi berjawat tapi masih bergelar. Gelaran rasminya ialah Yang Amat Mulia/ Her Royal Highness Permaisuri Siti Aishah. Daulat Tuanku.

Read more...

Tuesday, February 14, 2012

Peringkat Akhir Pertandingan Debat Diraja(The Royal Malaysian Intervarsity Debating Championship)


Assalamualaikum. Kesungguhan pasukan debat Universiti Sains Malaysia berentap bermati-matian di medan Debat Diraja 2012 membuahkan hasil apabila mereka berjaya melayakan diri ke peringkat akhir.

Para pendebat USM berasa sangat bersyukur dan gembira apabila mereka berjaya menamatkan kemarau selama 13 tahun untuk mara ke peringkat akhir.  Kejayaan ini lebih bermakna apabila ia berlaku di rumah sendiri.  Bumi Minden Height( Kampus Induk USM) akan menyaksikan pertandingan akhir antara Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya (UM) pada malam esok (15 Febuari 2012) di Dewan Budaya pada jam 8.00 malam.

Yang Dipertua(YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia(MPP USM)  Muhammad Idzuan Jamalludin yang turut meluangkan masa untuk menyaksikan  pendebat bertarung dari peringkat saringan hingga separuh akhir menyatakan rasa kagum dan gembira atas kejayaan dan keazaman para peserta.  Katanya,
Walaupun perjuangan masih belum selesai kerana mereka akan bertemu dengan UM di peringkat akhir, namun kejayaan menamatkan kemarau 13 tahun ini harus dipuji.   
Kalah menang bukan ukuran namun semangat perjuangan dan rasa cinta terhadap Universiti yang dizahirkan oleh para pendebat untuk melakukan yang terbaik demi USM tercinta harus dijadikan contoh oleh mahasiswa mahasiswi USM.

Muhammad Idzuan Jamalludin- Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar.

 Para Pendebat Diraja.
Bergambar bersama YDP MPP USM- Muhammad Idzuan(Baju Biru)
Bagi peserta yang akan berentap merebut Piala Diraja esok, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya. Semoga kejayaan milik kita. "Meneruskan Perjuangan Bagi Merealisasikan Aspirasi Mahasiswa".

Read more...

Monday, February 13, 2012

Makam Diraja Arau. Perlis

Assalamualaikum. cerita tentang Istana sudah, Raja memerintah dan Permaisuri nya pun sudah. Hari ini saya ingin membawa pembaca mengenali sedikit tentang Makam Diraja( Royal Maosoleum) dalam bahasa mudahnya ialah tanah perkuburan. Makam Diraja Arau yang menjadi pilihan saya.

Makam Diraja Arau terletak berhampiran dengan Istana Arau yang tidak jauh. Mungkin jaraknya dalam 500 meter sahaja. Makam Diraja ini terdiri daripada dua iaitu Makam Diraja( Baru) dan Makam Diraja Lama Arau. Makam Diraja Lama Arau terletak tidak jauh dari Makam Diraja baru dan ianya menjadi tempat bersemadi jasad Almarhum Tuanku Raja- Raja Perlis serta kerabat diraja Perlis yang lain. Manakala jasad Almarhum Kayang 1 dan II (Raja Perlis) berada di Makam Almarhum Kayang yang dulunya terletak Istana Almarhum Kayang. Berikut merupakan senarai Tuanku Raja- Raja Perlis yang dimakamkan di Makam Diraja Almarhum Kayang.

  • Sultan Dhiauddin Almukaram Shah( Almarhum Kayang 1)
  • Sultan  Dhiauddin Almukaram Shah II( Almarhum Kayang II)
Manakala Tuanku Raja- Raja Perlis yang dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau ialah
  • Almarhum Raja Syed Hussin Jamalullail (1843-1873)
  • Almarhum Raja Syed Ahmad Jamalullail (1873-1897)
  • Almarhum Raja Syed Saffi Jamalullail (1897-1904)
  • Almarhum Raja Syed Alwi Jamalullail (1904-1943)
  • Almarhum Raja Syed Hamzah Jamalullail (1943-1945)
 Almarhum Raja Syed Saffi, Raja Syed Alwi dan Raja Syed Hamzah.
Almarhum Tuanku Syed Putra dan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail( Raja Perlis yang memerintah sekarang)
 Istana Arau, Perlis
Manakala Makam Diraja( Baru), Arau pada masa ini menempatkan jasad 3 orang Kerabat Diraja Perlis iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Almarhum Tuanku Budriah dan Almarhum Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Tunku Abu Bakar Johor yang juga menantu kepada Almarhum Tuanku Syed Putra.

 Pintu Masuk ke Makam Diraja Arau.
 Beginilah keadaan selepas melangkah masuk dari pintu gerbang. Keadaan Makam ini agak sunyi.
 Dan dua buah makam ini adalah kepunyaan Almarhum Tuanku Syed Putra dan Almarhum Tuanku Budriah.
 Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan( Raja Perlis ke-6) 1945-2000
 Almarhum Tuanku Budriah Bt Tengku Ismail( Raja Perempuan Perlis)

Disebelah kiri itu adalah batu tanda bagi Makam Almarhum Tuanku Budriah dan disebelah kanan itu adalah batu tanda Makam Almarhum Tuanku Syed Putra.

Dan dibawah ini pula batu tanda bagi Makam Almarhum Tengku Sulaiman, Pemangku Raja Perlis satu ketika dahulu. Untuk makluman, Almarhum Tengku Sulaiman adalah Suami kepada Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Perlis, Dato Seri Diraja Sharifah Salwa yang juga Anakanda sulong kepada Tuanku Syed Putra.

 Moga Rohnya dicucuri Rahmat Allah.
Semoga Roh Almarhum Tuanku Syed Putra, Almarhum Tuanku Budriah dan Almarhum Tengku Sulaiman serta seluruh kerabat diraja Perlis sentiasa dicucuri rahmat dan mendapat pertolongan Allah Subhana Wata'ala. Al- Fatihah.

Read more...

Sunday, February 12, 2012

Sejarah Kesultanan Pahang

Asslamualaikum. Entry kali ini akan menceritakan sedikit sejarah tentang Kesultanan Pahang yang wujud sejak berabad lampau. Kesultanan Negeri Pahang adalah berasal daripada keturunan Raja-Raja dan Bendahara Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri.

 Lambang Negeri Pahang
Kesultanan Negeri Pahang telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum itu, Pahang telah diperintahkan oleh Kerajaan Siam.

Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik sebagai Sultan di Pahang. Pada tahun 1617, Kerajaan Acheh telah menyerang Pahang di mana Sultan Ahmad bersama anggota keluarganya telah dibawa ke Acheh. Dengan ini, berakhirlah era pemerintahan Kesultanan Pahang yang berasal daripada zuriat Sultan Melaka secara langsung.

Seterusnya, pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Namun demikian, pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) tidak lama, di mana Baginda telah terbunuh dalam peristiwa menuntut bela oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) di atas kematian isterinya yang diriwayatkan sebagai di bawah titah Sultan Mahmud Shah. Oleh kerana Baginda tidak meninggalkan zuriat, maka pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).

Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Seorang lagi putera Baginda, Tengku Sulaiman menggantikan Baginda sebagai Sultan bagi Kerajaan Johor-Pahang-Riau, dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, Wan Ahmad.

Pada tahun 1824, pihak Belanda telah mengikat perjanjian dengan Inggeris yang mengakibatkan pemisahan pemerintahan di antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula dengan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.

Disini saya sertakan gambar- gambar Sultan Pahang yang bermula dari keturunan Bendahara Wan Ahmad.



Sultan Ahmad Al- Muadzam Shah( 1882- 1914)
(Sultan Pertama dari generasi Bendahara Pahang)


Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ialah anakanda kepada Bendahara Ali dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che Lingga.  Bendahara Ali adalah pemerintah Negeri Pahang bagi tahun 1806 hingga 1857 .

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada 23 Mei 1836 bersamaan 5 Muharram 1252 H, di istana ayahandanya di Pulau Maulana, Pekan. Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah merupakan putera yang kelima dari sebelas saudara. Baginda telah diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang lima puluh tahun penuh daulat di atas takhta singgahsana kerajaan Negeri Pahang.  Baginda mangkat dengan meninggalkan beberapa orang isteri, putera dan puteri, dan telah dimakamkan di Makam Diraja di Kampung Marhum, Kuala Pahang pada 11 Mei 1914.  

Sultan Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad (1914- 1917)


Perkongsian hidup di antara Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah dengan Che Pah, seorang daripada isteri Baginda telah dikurniakan seorang putera yang bernama Tengku Mahmud pada hari Jumaat 4 Februari 1868 bersamaan 10 Syawal 1254H.  Tengku Mahmud diberi layanan dan asuhan yang sempurna daripada pengasuh khas. 

Walaupun Baginda mendapat pelajaran secara tidak formal tetapi tanda-tanda kepandaian, kecerdikan dan kebijaksanaan Baginda memang terserlah.  Tengku Mahmud bijak berkira bicara dan berunding. Pegawai- pegawai British yang datang ke Pahang pada masa itu sangat tertarik hati dan memuji kebijaksanaan Tengku Mahmud. Pergaulan yang baik dengan pegawai-pegawai British memberi peluang kepada Tengku Mahmud belajar menulis dan membaca serta cara- cara berfikir sebagai seorang yang bakal menggantikan ayahandanya.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mengangkat puteranya Tengku Mahmud  menjadi Pemangku Raja pada 22 Julai 1889 bagi membantu Baginda di dalam urusan pemerintahan negeri.  Kemudiannya, menurut persetujuan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang disahkan di dalam Mesyuarat Negeri pada 11 Oktober 1891,  Tengku Mahmud diberi gelaran Tengku Besar Pahang iaitu gelaran kepada seorang bakal Sultan.

Baginda telah berkahwin dengan Tengku Mariam iaitu puteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Johor) pada Julai 1913 tetapi tidak meninggalkan zuriat. Baginda menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Yang Memerintah pada 9 Mei 1914 dan Tengku Mariam pula dilantik sebagai Tengku Puan Besar. Pemerintahan Baginda sebagai Sultan tidak lama, apabila Baginda mangkat pada 19 Jun 1917 di Rumah Rehat Kuala Pahang.

Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad(1917- 1932)



Sultan Abdullah telah diputerakan pada malam Khamis, 25 Syawal 1296 bersamaan 12 Oktober 1874, di istana ayahandanya dan bondanya Cik Su'ma di Pekan Lama.  Baginda merupakan putera yang kelima Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali.

Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda Baginda iaitu Sultan Mahmud. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.

Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning  pada 22 Jun 1932 di hadapan sekalian putera- puteri, saudara- mara dan Orang- Orang Besar Negeri. Al-Marhum Baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum Al-Marhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum bt Abdullah dan Che Wan Chantik bt Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri. 


Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah (1932- 1974)


Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi'ul Awal Tahun 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah. 

Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan.  Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar(MCKK) di Negeri Perak.

Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang. 

Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah, di Kuala Kangsar, Perak.  Perkahwinan Baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat Diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Pada 4 Jun 1930, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.

Baginda merupakan putera Raja yang pertama dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.

Berikutan kemangkatan ayahanda Baginda, Baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 24 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia Baginda baru mencecah 28 tahun dan Baginda merupakan Sultan Pemerintah yang paling muda di dalam sejarah Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu. 

Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar( 1974- Sekarang)


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930. Baginda merupakan anakanda ketiga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Al-Mu'tasim Billah dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Ampuan Fatimah bt Sultan Iskandar Shah (Tengku Ampuan Besar Pahang).

Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimallah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (cucuri rahmat ke atas roh Baginda) pada 22 April 1954, di Kuala Lipis.   Pada ketika itu, ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad, menjadi Menteri Besar Pahang dan pemerintahan Kerajaan Negeri Pahang masih lagi berpusat di  Kuala Lipis.


Perkongsian hidup di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri. 

Putera dan Puteri Baginda berdua ialah:
1.
Yang Amat Mulia Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Binti Sultan Haji Ahmad Shah  Al-Musta'in Billah, DK., SIMP., PSM., JP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang). 
2.
Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang).
3.
Yang Amat Mulia  Tengku Dato' Hajjah Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Seri Kemala Pahang).
4.
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK(Terengganu)., DK( Johor )., SPMJ.  (Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang)
5.
Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, DK.,SSAP. (Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang)
6.
Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang)
7.
Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang) 

 Sultan Haji Ahmad Shah dan Almarhummah Tengku Ampuan Afzan di Hadapan Singgahsana Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Pada 14 Mac 1991, Sultan Haji Ahmad Shah telah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom dan baginda dikurniakan seorang lagi putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Muadzam.
 Sultanah Hajah Kalsom
 Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Pahang( D.K) kepada Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muadzam.
Sekian dahulu entry tentang Kesultanan Pahang. Hasil penulisan ini adalah rujukan dari Portal Kesultanan Pahang.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Adakah Blog ini sangat menarik

ZIKIR HARIAN

Jumaat
يا الله
Rahmat Allah hampir dan jauh dari azab Allah.


Sabtu
لااله الا الله
Dihapuskan dosa anggotanya yang tujuh.

Ahad
يا حى يا قيوم
Dipelihara imannya oleh Allah.

Isnin
لا حول ولا قوة الا بالله العلى العطيم
Dihapuskan sifat-sifat yang tercela.

Selasa
اللهم صلى على محمد وعلى ال محمد
Dapat syafaat Nabi Muhamad SAW.

Rabu
أستغفر الله العطيم الدى لااله الا هو الحى القيوم واتوب اليه
Dihapuskan 1000 dosa.

Khamis
سبحان الله العطيم وبحمده
Tumbuh tanaman syurga baginya.

Kisah Mawar Merah

KOMEN APA SAJA

Ikut Blog Ini

Cari disini

Loading...

Pengikut

  © Blogger templates The Professional Template by Muhamad Syukri Dzun Nurin 2008

Back to TOP